MySejahtera dibangunkan hanya untuk mendepani pandemik – Tok Mat

0
1
Datuk Seri Mohamad Hasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memberikan penjelasan lanjut berhubung beberapa isu dibangkitkan mengenai aplikasi MySejahtera terutama tentang pelantikan MySJ Sdn Bhd sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi berkenaan untuk fasa seterusnya.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata MySejahtera dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia bagi tujuan pengawasan penularan wabak Covis-19 dan ia adalah aplikasi yang sangat membantu dan bermanfaat.

“Namun laporan pelantikan entiti persendirian, MySJ Sdn. Bhd. sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya, adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Walaupun KKM telahpun memberikan penjelasan, ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan. Terutamanya tentang perlantikan MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme rundingan terus, dan bukannya melalui tender terbuka. 

“Rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan sedemikian melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan trend kehidupan puluhan juta rakyat Malaysia.

“Janganlah kita lupa bahawa aplikasi ini dibangunkan pada awalnya sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat untuk mendepani pandemik yang menular. 

“Apa-apa tujuan lain selain pengawalan pandemik memerlukan kerajaan melakukan libaturus yang komprehensif dengan semua pemegang taruh, terutamanya rakyat Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata, segala rencana menaiktaraf penggunaan aplikasi tersebut, bagi memudahkan urusan pendermaan organ atau apa jua urusan kesihatan yang lain, walaupun bermanfaat, namun adalah tidak selari dengan tujuan asal pembangunan aplikasi tersebut.

“Dan sekiranya cadangan menaik taraf dan mempelbagaikan fungsi MySejahtera ini ingin dilakukan, mekanisme semak dan imbang sangat diperlukan bagi memastikan keutuhan maklumat peribadi rakyat Malaysia tidak dikompromi,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia akan memasuki fasa peralihan endemik mulai 1 April 2021 dan kerajaan juga wajar memutuskan rasional penerusan pendaftaran melalui MySejahtera dan kewajipan pengaktifan MySJTrace.

“Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme ‘surveillance’ yang secara langsung,  mencerobohi privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka. Tentukanlah tempoh masa, sebelum semua ini boleh kita hentikan, demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia sama seperti sebelum pandemik.

“Ketelusan dalam semua perkara ini adalah sangat penting, dalam mengukuhkan keyakinan rakyat tentang pelan kerajaan dalam melebarkan aplikasi MySejahtera dari fungsi asalnya,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here