KURSUS “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” yang berlangsung selama dua hari banyak memberi input kepada usahawan kecil B40.
Kursus yang dianjur SME Corp. Malaysia menerusi Tri – D Event And Management Sdn. Bhd yang dilantik sebagai Rakan Perkhidmatan (Delivery Partner) di bawah Program Rangkaian Micro Connector menyasarkan penyertaan perusahaan mikro dan usahawan kecil dari kalangan berpendapatan rendah B40.
Ketua Pegawai Eksekutif Sme Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, peserta kursus diberi pendedahan pelbagai teknik mekap terkini selain dapat bertemu beberapa jurusolek profesional terkemuka.
“Objektif Program Kursus “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” adalah bagi membantu peserta-peserta menimba ilmu tambahan dan kemahiran terkini dalam bidang persolekan dan kecantikan.
“Kini peluang itu terbuka luas apabila Program Kursus “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” ini akan memberi peluang kepada peserta-peserta menceburi perniagaan dalam bidang Kecantikan dan Persolekan menggunakan kelebihan skil bersolek untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan,”
“Peserta-peserta dapat mempelajari dan di berikan pendedahan teknik Mekap Solekan Terkini (Advance Makeup), Mekap Solekan Pentas (Stage Makeup), Mekap Kesan Khas (Special Effect Makeup) dan Mekap Hijab serta Tutorial Turban oleh beberapa Jurusolek Profesional yang terkenal seperti Sheila Muhamad, TYM Fatimah dan El Manda Zuhairy,” katanya.
Kursus itu telah bermula sejak semalam dan berakhir hari ini di Dewan Prima, Wisma LJT, Kuala Lumpur.
Menurut Rizal Nainy, para peserta juga dibekalkan senaskah buku “START ME UP-Kit Panduan Bagi Perniagaan Permulaan” yang diterbitkan oleh SME Corp. Malaysia dalam usaha membantu para peserta menjadi usahawan yang berjaya dalam menjana pendapatan lumayan.
“Para peserta juga akan menerima sijil penyertaan dan berpeluang mendaftar syarikat di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang disediakan sepanjang Program Kursus “Pencinta Kecantikan Menjana Pendapatan” ini berlangsung,” katanya. -Malaysiapost

