SISTEM Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) menjadi rujukan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mendapat maklumat terkini berkaitan kampung-kampung di seluruh negara.
Timbalan Menteri KPLB 1, Datuk Seri Abdul Rahman berkata, sistem yang dibangunkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 2013 telah membantu KPLB mendapat maklumat berhubung pembangunan infrastruktur dan keperluan asas kampung-kampung di luar bandar yang berada di bawah tadbir urus kementerian tersebut.
“Tujuan utama sistem ini diwujudkan adalah untuk menjadi pangkalan data utama untuk membantu Kerajaan melaksanakan dasar-dasar luar bandar.
“Di dalam sistem ini terdapat maklumat berkenaan jumlah penduduk, demografi penduduk sesuatu kampung, infrastruktur dan prasarana serta kemudahan asas yang terdapat di dalam sesebuah kampung,” jelasnya ketika menggulung Titah Diraja di Parlimen hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tuan Aknan a/l Ehtook berhubung cadangan mewujudkan indikator bagi mengenalpasti tindakan yang boleh diambil bagi membangunkan sesebuah kampung sama ada dari segi infrastruktur atau ekonomi kampung berkenaan diwujudkan.
Selain itu, Abdul Rahman menjelaskan, sistem ini telah membantu pihak kementerian dalam merangka pelan pembangunan infrastruktur dan prasarana kampung seperti jalan raya, jambatan, ameniti sosial dan sebagainya.
Menurutnya, sistem ini sebagai rujukan utama pihak Kerajaan di dalam membuat dasar dan perancangan pembangunan luar bandar.
Justeru, beliau menegaskan, adalah amat penting bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap kampung membantu Kementerian dengan menyediakan maklumat kampung mereka secara terperinci supaya maklumat dan keperluan semasa sesuatu kampung itu dapat diketahui oleh kementerian melalui sistem ini.
“Dengan maklumat berkenaan profil kampung yang lengkap terutamanya berkaitan dengan kemudahan asas yang terdapat di dalam sistem ini, ia dapat membantu kerajaan dalam memastikan pembangunan di luar bandar dapat dibangunkan sebaik mungkin, demi memastikan taraf kehidupan masyarakat dapat ditingkatkan sejajar dengan aspirasi Kementerian ke arah Luar Bandar Sejahtera,” katanya. – Malaysiapost

