KESINAMBUNGAN kerjasama antara pimpinan baharu DAP dengan Pakatan Harapan (PH) akan terus dipertahankan.
Jaminan itu diberikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke selepas pertemuan pimpinan parti tersebut dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Amanah, Mohamad Sabu semalam.
“Kerjasama DAP dengan Keadilan khususnya Anwar dan pemimpin Amanah mempunyai asas yang kukuh dan terbina sejak tahun 1998 atas semangat setiakawan dan perjuangan bersama merentangi pelbagai cabaran.
“Kerjasama politik ini telah menghasilkan proses pendemokrasian di negara kita terutamanya kejayaan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam PRU 2008 dan 2013 dan menamatkan penguasaan BN di peringkat Persekutuan pada tahun 2018,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Loke berkata, walaupun DAP menyedari PH menghadapi pelbagai cabaran dan masalah pada hari ini, ia tidak boleh berputus-asa.
Malah katanya, PH mesti berusaha secara bersama untuk mengatasi segala kelemahan dan kemballi bangkit untuk meneruskan perjuangan reformasi untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.
“Pakatan Harapan pasti bangkit semula! Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing,” katanya. – Malaysiapost

