Indeks rasuah: Malaysia di belakang Singapura

0
2
Suasana di River of Life Kuala Lumpur ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

MALAYSIA menduduki tempat kedua terbaik dari segi pengukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI). 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pengukuran itu dibuat berdasarkan persepsi melalui kajian oleh institusi antarabangsa dan untuk tahun 2021, CPI dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu telah menunjukkan Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura dan antara sembilan negara daripada persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang terlibat.

“Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun.

“Sebagai contoh, kajian CPI bagi tahun 2021 tidak melibatkan negara Brunei,” katanya dalam ucapan penggulungan Titah Diraja Dewan Negara di Parlimen petang ini.

Mas Ermieyati menambah, Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sebagai penyelaras dengan kerjasama agensi peneraju akan terus mempergiat gerakan pelaksanaan inisiatif dalam enam bidang keutamaan yang dinyatakan dalam Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP).

Selain itu, promosi dan hebahan berhubung inisiatif berkaitan pemantapan governans akan terus dipertingkatkan bersama 27 Ketua Agensi Peneraju NACP bagi memastikan hebahan berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat disampaikan kepada umum, sekali gus memberi persepsi yang tepat.

Mas Ermieyati menjelaskan, beberapa sesi libat urus juga telah diadakan oleh GIACC, JPM bersama Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) seperti Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta belia melalui Sesi Dialog Awam.

Katanya, GIACC juga telah mengadakan persidangan penyelidikan peringkat kebangsaan pada 23 hingga 24 Mac lalu untuk membincangkan isu semasa berkaitan risiko rasuah, integriti dan kelemahan governans bagi tujuan penambahbaikan.

“Melalui langkah ini, komitmen dan kerjasama berterusan dari semua pihak akan terus dipertingkat ke arah memperbaiki prestasi negara dalam CPI di masa depan.

“Kerajaan kekal komited memastikan usaha pemerkasaan GIACC dilaksanakan melalui NACP yang telah dimulakan sejak 2019.

“Antara inisiatif itu termasuk pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran melalui Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen serta penyediaan draf Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman yang dijangka dibentang di Parlimen tahun ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here