MySejahtera: Jumlah akan dibayar kerajaan lebih rendah dari RM300 juta

0
1
mysejahtera mysj

KERAJAAN akan membayar jauh lebih rendah untuk lesen aplikasi MySejahtera. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan kini masih berunding dengan MySJ Sdn Bhd berhubung terma perjanjian lesen MySejahtera tetapi memberi jaminan harganya “jauh lebih rendah” daripada RM338.6 juta.

“Saya boleh beritahu yang jumlah yang sedang kami runding dengan MySJ adalah lebih rendah daripada RM300 juta. Jauh lebih rendah.

“Kes mahkamah antara Entomo dan MySJ adalah sesuatu yang perlu diselesaikan oleh mereka, tiada kaitan dengan kerajaan.

“Jumlah yang mereka (MySJ) persetujui dengan Entomo (sebelum ini KPISoft Sdn Bhd) tiada kaitan dengan rundingan kerajaan,” katanya kepada media ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama Khairy sekali lagi menegaskan, kerajaan masih tidak membuat pembayaran kepada mana-mana syarikat swasta ini.

Menurutnya, tiada kontrak antara kerajaan dengan Entomo ketika dia mula menjadi menteri kesihatan kerana syarikat itu menawarkan untuk membangunkan dan menyelia perkhidmatan aplikasi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Justeru, Khairy berkata dia memutuskan untuk mengadakan persetujuan menerusi kontrak secara formal dengan pembangun aplikasi itu, untuk menghalang sebarang caj di masa depan jika kerajaan ingin menambah lebih banyak modul di dalamnya.

Namun kerajaan kemudian dimaklumkan Entomo telah menjual lesen aplikasi MySejahtera pada MySJ Sdn Bhd.

“Maka, kerajaan kini dalam rundingan berkenaan aplikasi MySejahtera. 

“Sekarang kerajaan dalam peringkat perbincangan dengan MySJ untuk langkah ke hadapan, penyelenggaraan platform itu.

“Kalau mereka tak setuju untuk MySejahtera dimiliki kerajaan, kecuali untuk platform tertentu yang memerlukan kod sumber, maka kita tidak akan teruskan perjanjian. Jadi sebab itu saya kata kita masih dalam perundingan,” katanya. 

Khairy menegaskan rundingan hanya untuk perisian sebagai perkhidmatan (software as a service, SaaS) aplikasi itu. 

SaaS adalah perlesenan perisian dan model penyampaian di mana perisian dilesenkan secara langganan dengan hos berpusat di internet. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here