Pengangkutan awam turut dibenar beroperasi rentas sempadan Malaysia-Singapura

0
2

SEMUA kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan Malaysia – Singapura akan dibenarkan beroperasi bermula 1 April ini susulan kedua-dua negara membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong, berkata kebenaran itu terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.

“Oleh yang demikian, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam yang berkaitan boleh membuat persiapan ke arah memulakan semula operasi mereka termasuk memperbaharui semua permit atau lesen yang berkaitan.

“Namun, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai.

“Orang ramai bolehlah mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan diingatkan untuk mematuhi semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan.

“Semua operator juga hendaklah memastikan kod QR diimbas oleh penumpang bagi tujuan pengesanan kontak. Pihak operator bagaimanapun tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan status vaksinasi penumpang sebelum menaiki kenderaan.

“Operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam boleh menolak daripada menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana pengembara yang tidak mematuhi SOP kesihatan semasa seperti pemakaian pelitup muka,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab pengembara untuk memastikan mereka telah mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di dalam telefon pintar dan memenuhi semua syarat-syarat pengembaraan yang telah ditetapkan.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan tindakan boleh diambil kepada pengembara berkenaan termasuk dikenakan tindakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia ada yang berkaitan.

“Mana-mana pengembara yang akan menggunakan kenderaan persendirian ke Malaysia pula diingatkan untuk mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing dengan melayari laman web https://vep.jpj.gov.my/.

“Kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol,” katanya.

Ka Siong berkata, selain itu semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar Caj Jalan (RC) sebanyak RM20 setiap kemasukan apabila masuk ke Malaysia.

“Bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID.

“Semua pengembara yang memandu kenderaan persendirian pendaftaran Singapura perlu memastikan kad Touch n Go masih sah dan mempunyai baki yang mencukupi untuk membayar RC bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan,” katanya.

Menurutnya, pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura ini bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, tetapi juga dapat merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat Malaysia-Singapura. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here