Jangan terjebak dengan dadah, kita akan hilang semuanya: Ameng

0
3

SAYA sudah ada titik hitam dalam hidup, saya harap rakan artis mahupun sesiapa saja jangan tersilap langkah, demikian kata vokalis kumpulan Spring, Ameng. 

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 54, (gambar) pernah ‘tersalah langkah’ dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah tidak lama dulu.

“Kita akan hilang semuanya apabila terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Keluarga anak-anak. Jika dia seorang artis, dia akan hilang populariti, jika dia orang biasa orang akan sukar mempercayai dan akan terus dipandang serong,” nasihat Ameng dipetik Metro Ahad.

Ameng menjelaskan, titik hitam dalam hidupnya itu akan sentiasa ada, namun dia tetap bersyukur kerana kejadian itu menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupannya.

“Bayangkan, waktu kena tahan, didapati bersalah, masuk pula penjara, kena sebat. Sehingga sekarang saya boleh merasai kesakitannya dan ia menjadi salah satu faktor perubahan dalam hidup.

“Ketika itu, saya hilang semuanya, hilang populariti, hilang keluarga dan pastinya hilang kepercayaan dalam kalangan rakan serta kalangan peminat.

“Waktu itu, saya mula terfikir musibah yang berlaku pada diri saya ini kerana Allah SWT marah dengan saya, bila marah pasti ada buat silap. Dan Alhamdulillah, saya berubah kepada diri yang lebih baik, Insya-Allah,” katanya. 

Ameng pernah melalui sejarah hitam dalam hidupnya apabila dihukum menjalani lapan tahun kehidupan di dalam tirai besi disamping menerima 10 sebatan pada 2011 atas kesalahan memiliki dadah.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati itu, tiga amalan yang dilakukannya iaitu menjaga solat, berzikir dan membaca al-Quran menjadi benteng kuat untuk dia istiqomah mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini.

“Saya akan pastikan setiap hari saya habis membaca 10 muka surat al-Quran dan dalam seminggu, saya akan menghafal satu muka surat dan ia sudah menjadi rutin dalam kehidupan saya.

“Kehidupan sebagai artis ini memang tidak menentu, namun selepas mengamalkan membaca al-Quran ini, saya dapati kehidupan lebih tenang, Alhamdulillah, ada saja rezeki tidak putus-putus walaupun dalam bermacam persaingan.

“Sekarang pun saya banyak dijemput dalam platform umum untuk berkongsi kisah hidup dan saya harap pengalaman hidup saya ini boleh dijadikan iktibar untuk orang lain,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here