KERAJAAN Barisan Nasional (BN) perlu mengotakan janjinya untuk tidak menghalang pembangunan di Pulau Pinang dengan meluluskan pembesaran lapangan terbang antarabangsa negeri itu.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melalui pihak berkuasa tempatan telah meluluskan projek pembesaran LTAPP itu pada Disember 2019.
Bagaimanapun, Sim menjelaskan, projek tersebut telah dibekukan selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020.
“Malangnya, pada Februari 2020, selepas Langkah Sheraton, menteri pengangkutan kerajaan PN-BN, Wee Ka Siong telah membekukan projek tersebut.
“Selepas kerajaan persekutuan diambil alih oleh Umno-BN pada Ogos 2021, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tetap dibeku dan belum dipulihkan semula sehingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan ke Pulau Pinang mendakwa BN tidak pernah menghalang pembangunan di negeri itu termasuklah ketika era beliau menjadi Perdana Menteri.
Sebaliknya, Najib menjelaskan, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP seharusnya bertanyakan kepada bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin kerajaan selepas kerajaan PH digulingkan dalam ‘Langkah Sheraton’.
Justeru, Sim berkata, Umno dan BN perlu membuktikan benar-benar ikhlas mengenai pembangunan di negeri Pulau Pinang dengan meneruskan projek pembesaran lapangan terbang terbabit memandangkan Perdana Menteri adalah dari BN.
“Jika benar Umno dan BN tidak berniat menghentikan projek pembesaran LTAPP, maka perdana menteri dari Umno dan menteri pengangkutan dari BN harus memulihkan semula projek tersebut dengan serta merta,” katanya. -Malaysiapost

