DATUK Seri Najib Razak memberi tempoh 24 jam kepada Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin untuk nafikan satu penulisan artikel blog bertarikh semalam.
Ia susulan Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard mendakwa bekas Perdana Menteri itu pernah berkata ‘nak basahkan keris dengan darah Cina’ berdasarkan satu keratan akhbar yang tidak diketahui kebenarannya.
“Keratan akhbar dari mana? Bertarikh apa? Ataupun buatan sendiri? Saya bagi tempoh 24 jam untuk nafikan.
“Jika tidak, saya akan saman kamu berhubung artikel tersebut. Jika bukan, pergi lapor polis bahawa nama kamu sudah disalah guna,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Najib berkata jika saman diambil terhadap Badrul Hisham, beliau akan saman juga berhubung kenyataan pemimpin Bersatu itu dalam satu video ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 2014.
Video tersebut bertajuk “Chegubard: Masa Najib Tanya Apa Lagi Cina Mahu, Apa Chew Mei Fun Cakap?”
“Sedangkan saya tak pernah kata frasa tersebut. Itu tajuk berita surat khabar. Sedangkan juga Hanipa Maidin pernah tarik balik dakwaan berkenaan keris darah Cina terhadap saya.
“Dan saya pun pernah jawab Mahathir tentang dakwaan yang sama, lalu dia mengaku saya tak pernah kata begitu.
“Dan saya tahu bahawa geng pro-DAP sedang kuat tular semula keratan akhbar entah dari mana ataupun entah sahih ke tidak setelah mereka panas sebab saya lawat Pulau Pinang.
“Sesiapa pun boleh edit gambar kononnya satu keratan surat khabar. Cukup-cukup dengan taktik fitnah,” katanya lagi. – Malaysiapost

