DAP tunggu keputusan mahkamah, sebelum putuskan nasib Guan Eng

0
2

DAP akan menunggu keputusan mahkamah sebelum menentukan nasib Pengerusinya, Lim Guan Eng susulan perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut yang dihadapi bekas Setiausaha Agung DAP itu.

Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow, berkata parti itu kekal dengan pendirian berkenaan dan tidak akan membangkitkan isu terbabit sehingga mahkamah membuat keputusan.

“Saya fikir buat masa ini, pendirian (DAP) kekal sama iaitu tidak akan mengendalikan soal ini sehingga mahkamah memberikan keputusan,” katanya.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP hanya akan membuat pertimbangan jika berlaku sebarang perubahan dalam perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau meminta Guan Eng meletakkan jawatan sementara menunggu keputusan perbicaraannya.

Guan Eng dipilih sebagai pengerusi DAP dalam pemilihan parti itu Ahad lalu, selepas berundur daripada jawatan Setiausaha Agung kerana telah mencapai had tiga penggal.

Sebelum ini, media melaporkan, Cheng Hau mendesak Guan Eng meletak jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan parti itu, susulan perbicaraan rasuah terowong dasar laut dihadapi bekas Setiausaha Agung DAP tersebut.

Cheng Hau menegaskan, mana-mana pemimpin yang terpalit tuduhan rasuah atau skandal harus mengambil inisiatif untuk meletak jawatan bagi mengelak daripada menghantar isyarat salah mengenai nilai parti itu kepada masyarakat.

Pada masa sama katanya, ia bagi mengelak kedudukan parti terjejas bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here