Siasat semula kes kematian Nour Rania – Zahida

0
1

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menggesa polis melakukan siasatan semula secara terperinci ke atas kes kematian bayi Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan, yang didakwa mencurigakan.

Zahida berkata, lebih menyentuh hati apabila melihat kes kematian bayi itu seolah-olah tidak mendapat keadilan sepenuhnya.

“Satu kejadian yang amat tragis, mengejutkan dan menyentuh jiwa rakyat Malaysia. Saya mengikuti rapat berita pemergian anak comel Nour Rania Asyifaa Yuseri yang pada awalnya didakwa punca kematian adalah terjerut kain buaian.

“Siapa yang tidak tersentuh biila baca berita kehilangan baby berusia 15 bulan, lebih lebih lagi dalam keadaan amat tragis,” katanya menerusi Facebook.

Zahida berkata, berdasarkan apa yang dibangkitkan bapa mangsa, Yuseri Yusoff, mendakwa kematian anaknya bukanlah kerana kemalangan, tetapi dengan niat membunuh.

“Tak perlu penglihatan seorang pakar forensik untuk melihat, kesan jerut pada leher baby Syifaa amat pelik dan mencurigakan, tidak sepadan dengan cerita pengasuh,” katanya.

Tegasnya, kematian bayi itu mesti mendapat keadilan yang sebenar-benarnya.

“Ambil kira bukti bukti baru yang dikemukakan. Ambil tindakan sekiranya ada pihak yang terlibat dan cuba untuk menyembunyikan fakta kes sebenar.

“Dakwa dalang durjana sekiranya terbukti ini adalah satu kes bunuh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Semalam, polis menjelaskan sudah melakukan siasatan terhadap kes itu dan menyangkal dakwaan bapa mangsa yang mendakwa anaknya dijerut.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan bantuan kepakaran pakar forensik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here