Sapura Energy: ‘Saya nak selesaikan masalah, tapi Rafizi cari salah’ – Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak menasihati Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berhenti menyalahkan orang lain, sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut Sapura Energy Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata Rafizi menerusi hantaran di Twitter baru-baru ini mendakwa cadangan memulihkan Sapura Energy sebelum ini bukan dari Najib, tetapi beliau menyifatkan ‘posting’ itu hanya cubaan melepaskan diri kerana panik.

“Oleh sebab raja formula songsang sangat lambat beri respon, dia pun tuduh ini dan itu. Kononnya bukan saya yang buat posting berhubung fakta-fakta kemelut dan cadangan bagaimana nak pulihkan Sapura.

“Lalu dia beri alasan bahawa dia lambat sebab perlu baca beribu-ribu muka surat laporan berkenaan Sapura sebelum beri respon.

“Jikapun, dia nak baca berjuta-juta muka surat untuk cari salah pun tidak akan menyelesaikan masalah Sapura ketika ini,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata, kaedah Rafizi ini adalah contoh masalah pemikiran dan pendekatan Geng Pakatan Harapan (PH).

“Justeru itu, antara sebab mereka tidak boleh diberi peluang lagi untuk memerintah sesebuah negara dan menjaga ekonomi.

“Kerana mereka lebih cenderung untuk cari salah dan bukan untuk menyelesaikan masalah demi menjaga kepentingan rakyat dan ekonomi,” katanya.

Tambahnya, Malaysia mempunyai peluang untuk menyelamatkan ekonomi dan potensi untuk menjana kembali kekayaan dengan memulihkan sebuah syarikat terbesar dalam sektor industri terpenting negara.

Jelasnya, sekiranya Petronas yang amat memerlukan perkhidmatan Sapura mengambil alih atau membantu syarikat itu, maka kerajaan tidak perlu menggunakan satu sen pun untuk memulih Sapura.

“Malah berpotensi untuk mengaut keuntungan berpuluh ganda setelah nilai Sapura dipulihkan sebelum ini.

“Jadi, saya nak selesaikan masalah tapi Rafizi pula cuma nak cari salah – biarpun Sapura bukan syarikat majoriti milik GLC sebelum tahun 2019.

“Kami positif mindset, mereka terlampau negatif. Sekiranya dia berjaya cari salah pun, adakah dia akan tegur kerajaan PH dahulu?,” katanya.

Najib juga hairan bahawa kononnya Rafizi tidak tahu mengenai pelaburan tambahan RM2.7 bilion dalam Sapura yang menyebabkan PNB menjadi pemegang saham terbesar dengan kepentingan 40 peratus dibuat pada 2019 iaitu ketika pentadbiran PH manakala aliran tunai Sapura mula terjejas bermula tahun itu juga.

“Prioriti sepatutnya untuk selamatkan ribuan syarikat PKS, pekerja-pekerja, pelaburan PNB/ASB, ekosistem minyak dan gas kita serta menjayakan potensi untuk membina semula kekayaan dengan memulihkan syarikat itu.

“Bukan sekadar nak cari salah sahaja. Nak cari salah pun, korang boleh siasat pengurusan lama syarikat yang melibatkan anak Tun Mahathir serta towkay zaman PM4 itu dengan sepenuh-penuhnya dan sepuas-puasnya setelah masalah dan kemelut diselesaikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here