Nurul Huda Abhar
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalani kuarantin berikutan mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Difahamkan, beliau mempunyai kontak rapat dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno , Datuk Razlan Muhammad Rafii, yang dilaporkan positif baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memuat naik beberapa gambar yang memaparkan dirinya sedang mengadakan perbincangan secara atas talian.
“Oleh kerana kuarantin, saya memantau dari rumah segala perkembangan terbaharu mengenai hari mengundi PRN Sabah,” katanya di Facebook, hari ini.
Dalam masa yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut memberitahu sedang menjalani kuarantin di rumah.
Menerusi Facebooknya, beliau berkata, walaupun sedang menjalani kuarantin namun tetap mengikuti perkembangan pengundi putih yang keluar mengundi.
“Lantaran menjalani perintah kuarantin di rumah, tetap meneliti perkembangan peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi-pengundi yang dikategorikan sebagai putih atau pengundi BN di setiap DUN PRN Sabah melalui Ketua-ketua Pemuda dan Penyelaras-pengelaras jentera Pemuda bagi setiap DUN,” katanya.
Beliau turut berharap jentera BN yang bekerjasama dalam PRN Sabah akan terus menjaga keselamatan diri.
“InsyaAllah, moga kerja kuat semua jentera di lapangan bakal memperoleh kejayaan kepada BN. Jaga diri, jangan lupa pakai mask (pelitup muka), tangan sentiasa bersama sanitasi semua!,” katanya. – Malaysiapost

