SEMUA 741 pusat mengundi yang membabitkan 2,540 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ditutup tepat jam 5 petang tadi.
Setakat jam 3 petang tadi hanya 58 peratus daripada 1,088,711 pengundi keluar mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus.
Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan seramai 476 calon mewakili 16 parti selain 56 calon Bebas bakal mengetahui nasib masing-masing malam ini.
Ketika ini proses pengiraan undi sudah bermula sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi di 64 tempat.
Keputusan pertama dijangka diketahui seawal jam 6 petang dan SPR menjangkakan proses penjumlahan selesai pada kira-kira jam 10 malam. -Malaysiapost

