Ali XPDC dinasihat tangguh menyanyi

0
2

PENYANYI rock, Ali XPDC kian beransur sembuh setelah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, Selasa lalu.

Isterinya, Sharifah Syarzana, berkata Ali sudah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang tetapi masih perlu meneruskan rawatan susulan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah selepas disedarkan dari tidur minggu lalu, kesihatannya menunjukkan tanda-tanda positif. Cumanya dia masih belum mampu bercakap dengan jelas. Sekarang ini masih memerlukan rawatan lanjut di hospital.

“Doktor kata kemungkinan dia akan terus berada di wad dalam tiga minggu lagi,” katanya seperti dilaporkan mStar, hari ini.

Menurutnya, semangat Ali kuat dan keadaan nampak lebih baik berbanding semasa di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ini, namun keadaan jantungnya masih lemah dan mungkin perlu ke Hospital Serdang pula untuk pemeriksaan jantung.

“Nak benar-benar pulih mungkin ambil masa, doktor pun kata dia dah tak boleh nak menyanyi walaupun dah sembuh, perlu ambil masa beberapa bulan lagi untuk beraksi di pentas,” katanya.

Ali, 53, dimasukkan ke Hospital Ampang pada 4 Mac lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.

Selepas seminggu dimasukkan ke hospital, keadaan kesihatan Ali semakin merosot dan terpaksa ditidurkan akibat mengalami kesukaran bernafas.

Dalam pada itu, Syarzana mengakui kos penjagaan dan perbelanjaan untuk suaminya itu semakin bertambah selepas dimasukkan ke hospital.

“Sejujurnya memang banyak duit keluar untuk kos rawatan dan penjagaan diri. Sekarang ini pula Abang Ali perlu menggunakan lampin pakai buang dan susu khas…seminggu dalam ratusan ringgit juga perlu dibelanjakan untuk Abang Ali termasuklah kos ulang alik saya dari hospital ke rumah.

“Sebelum ini ada kawan kami kongsi mengenai kutipan sumbangan untuk Abang Ali di Facebook…mungkin niat kawan kami itu baik dan hanya nak membantu.

“Tapi sejujurnya kami bukanlah terdesak nak minta sumbangan dan Abang Ali pun tak suka menyusahkan orang lain. Tapi kalau ada orang nak hulurkan bantuan kita terima sahaja tapi belum sampai tahap meminta-minta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here