PH sengaja tikam belakang – Annuar Musa.

0
1

PAKATAN Harapan (PH) didakwa sengaja bertindak secara tikam belakang daripada meminta perundingan diadakan berhubung usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata lebih menjengkelkan lagi bila PH meraikan kejayaan menolak usul kerajaan itu dengan bersorak sorak di dalam Dewan Rakyat, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berpendapat tindakan itu jelas membuktikan PH tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

Menurutnya, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook cuba memberi alasan kononnya PH tidak melanggar memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan pembangkang kononnya isu SOSMA tidak termasuk dalam MoU.

“Saya adalah salah seorang dari lapan Anggota Jawatankuasa Perundingan MoU. Semangat dan tujuan MoU adalah jelas, untuk kestabilan dan keharmonian pentadbiran.

“Serta memberi sokongan kepada Perdana Menteri menguruskan pemulihan negara. Ia juga untuk mengurangkan “politiking” dan kita tumpu kepada kepentingan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau meminta penjelasan lanjut Anthony Loke mengenai tindakan PH yang begitu nekad untuk menewaskan undi kerajaan sehingga sanggup menolak undi empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sudah berada dalam dewan semasa undian masih lagi berjalan.

“Sekiranya PH tidak setuju dengan usul, kenapa PH tidak minta untuk berunding?

“Adalah jelas PH sengaja bertindak secara “tikam belakang”.

“PH sama sekali tidak menjunjung semangat MoU dan PH cuma mahu mencari “laba politik” untuk mereka,” katanya.

Annuar berkata, Anthony Loke juga pasti tahu usul berkenaan dibawa oleh Menteri Dalam Negeri yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Perundingan MoU.

“Apa alasan untuk beliau dan PH tidak memohon rundingan di adakan sekiranya tidak bersetuju dengan usul, sedangkan usul ini hanya bermaksud untuk menyambung tempoh pemakaian seksyen tertentu yang sudah pun dilulus Parlimen sebelum ini.

“Kita tentu ingat, baru dua hari lepas, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengugut kerajaan, berhubung pindaan perlembagaan dan Akta Anti Lompat Parti dengan mahu menamatkan MoU jika ia tidak dibentangkan dalam sidang kali ini.

“Tidakkah ini juga petanda betapa tidak jujurnya DAP dan PH dalam melaksanakan MoU ini. Justeru PH, khususnya DAP perlu bertanggungjawab jika rosaknya MoU ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa BN tidak gentar untuk hadapi PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang baru berlalu telah pun membuat ketetapan berkaitan PRU-15.

“Kami ahli parti yang setia (party men) mendokong sepenuhnya ketetapan ketetapan itu. Justeru, bagi saya PH khususnya DAP perlu menerima hakikat bahawa Perdana Menteri sudah tidak lagi terikat dengan MoU ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here