Kerjasama kerajaan dan pembangkang perlu dinilai semula – Tok Mat

0
1

SESI Dewan Rakyat petang semalam menyaksikan usul Kerajaan untuk melanjutkan, peruntukan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah gagal diluluskan, berdasarkan kiraan undi majoriti mudah.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kegagalan usul berkenaan adalah sesuatu yang tidak dijangka dan ia menunjukkan sikap sambil lewa, bahawa rang undang-undang sepenting itu tidak di uruskan dengan strategik sebelum dibentangkan.

“Ini agaknya, semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas antara kerajaan dan pembangkang dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-udang dan dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang di harapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berpendapat kerajaan yang terbentuk dan bertahan serta berfungsi menggunakan mekanisme MoU dengan pembangkang adalah sangat berisiko.

“Apa lagi bila Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh di percayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji.

“Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada Kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku itu secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamannya dengan PH.

“Mungkin telah tiba masanya kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MoU tersebut matang pada Julai ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here