Usul lanjutkan SOSMA bukan sebahagian MoU – Anwar Ibrahim

0
2

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usul pelanjutan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, semalam bukanlah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Pengerusi PH, berkata penolakan blok pembangkang terhadap usul dibawakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu juga tidak memberi kesan kepada MoU berkenaan.

“Saya ikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat khususnya terkait usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri berhubung Akta SOSMA walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

“Penghargaan saya buat seluruh saf Pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh, serta berjaya menolak usul tersebut.

“Seperti yang dijelaskan beberapa rakan Ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian dari MoU di antara Kerajaan dan PH, dan penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sesi petang Dewan Rakyat semalam hangat apabila blok pembangkang buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Penolakan usul berkenaan menyaksikan kerajaan gagal melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022. – Malaysiapost

Sementara itu, Anwar juga memaklumkan Perdana Menteri masih belum memungkiri janjinya untuk melaksanakan Rang Undang Undang Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat.

“Saya juga mengambil maklum pertemuan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri siang tadi (semalam), dan komitmen beliau untuk membentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dalam satu sidang khas Parlimen pada April.

“Semoga segala usaha kita dipermudah demi rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here