KERAJAAN bersetuju menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) yang bermatlamat untuk memastikan umat Islam di negara ini terutamanya golongan B40 diberi akses kepada keadilan khususnya di Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), di Parlimen semalam.
Menurutnya, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM5 juta untuk penubuhan Pusat Bantuan Guaman Syarie bagi membantu kos guaman kes nafkah isteri teraniaya, seperti kes persendirian yang tidak memberikan keadilan kepada pihak isteri.
“Ini bagi memastikan setiap ibu dan bekas isteri mendapat peluang dan keadilan yang sama.
“Hakim Mahkamah Syariah dicadangkan supaya mengeluarkan perintah perceraian dan perintah nafkah untuk isteri dan anak-anak secara serentak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, untuk kes yang telah mendapat perintah mahkamah dan suami masih ingkar membayar, mahkamah syariah perlu bertindak memotong gaji suami atau membekukan akaun supaya bank membuat bayaran terus dari akaun suami.
Sebagai permulaan, BAGUS akan dimulakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. – Malaysiapost

