
KEGAGALAN usul yang dibawa Kerajaan bagi pelanjutan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, semalam adalah sesuatu yang mengejutkan.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia kerana perkara itu ternyata melanggar memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, Perkara 3 dalam MoU berkenaan dengan jelas menegaskan bahawa pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa oleh Kerajaan.
“Ia sebagai salah satu langkah yang diambil bagi mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.
“Namun, apabila usul yang dibentangkan kali ini gagal akibat tidak mendapat sokongan pihak pembangkang, adalah wajar untuk kita semua menyimpulkan yang mereka telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan sama sekali komitmen mereka sebelum ini.
“Keadaan ini mencerminkan beberapa perkara yang mesti dipandang serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, berpendapat pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik dan cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka.
“Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.
“Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang.
“Kerajaan seperti dalam kedudukan sekarang tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak akan berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar,” katanya.
Beliau berpendapat, keadaan itu adalah bukti jelas bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati dan MoU antara kdan pembangkang juga nampaknya sudah tidak lebih dari sekadar janji di atas kertas.
“Jika ditanya pendirian saya dan parti, saya kira semuanya sudah sangat jelas. Malah, ketetapan dan pendirian kita semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 tempoh hari adalah sesuatu yang rasional dan berasas.
“Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada. Malah, ia adalah pengajaran yang besar kepada parti politik seperti Umno dan BN,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, semua yang berlaku hanya menguatkan semangat dan kepercayaannya betapa Umno harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat.
“Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh.
“Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul SOSMA 2012) adalah sesuatu yang memalukan kerajaan. Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera,” katanya. – Malaysiapost
