Langkah kanan buat Kim Pan-gon, Harimau Malaya menang!

0
2

LANGKAH kanan buat pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon apabila skuad bimbingannya menewaskan Filipina 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

Agak terlalu awal untuk menghamburkan pujian, namun Pan-gon berhak mendapat kredit atas usahanya menerapkan corak permainan dinamik, pantas selain tekanan kepada pemain lawan pada aksi sulungnya bersama skuad Harimau Malaya ini.

Malaysia yang kini menghuni tangga ke-154 dunia turun dengan perancang tengah berpengalaman yang keluar daripada persaraan, Safiq Rahim, dilihat mengancam kubu lawan sejak wisel pertama ditiupkan.

Usaha awal menuaikan hasil pada minit ketiga menerusi gol Akhyar Rashid yang bijak mengawal bola dan menggelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gawang Filipina, Neil Etheridge.

Kegarangan Harimau Malaya seolah-olah tidak mampu disekat namun tiang gol lawan menjadi penghalang selang seminit selepas itu menerusi rembatan Syafiq Ahmad selain tindakan susulan Syamer Kutty yang dinafikan pertahanan lawan.

Filipina ternyata ‘lemas’ diasak berterusan skuad negara yang diibarat seperti mendapat tonik baru dari Korea Selatan yang akhirnya sekali lagi penjaga gol mereka terpaksa mengutip bola dalam gawang sendiri pada minit ke-24.

Gandingan Safiq Rahim, Syafiq dan Akhyar nyata menyengat selepas bola lorangan menarik dari Safiq berjaya dibaca Syafiq yang melakukan larian sebelum membuat hantaran kepada Akhyar yang berada dalam posisi terbaik menjaringkan gol.

Akhyar tenang mengawal bola sekali lagi berjaya memperdayakan pertahanan sebelum melakukan rembatan untuk memastikan bola terus menerjah jaring gol Filipina untuk Harimau Malaya mendahului 2-0.

Bagaimanapun, permainan Malaysia agak perlahan pada babak kedua yang berpunca daripada tiga pertukaran pemain utama.

Malaysia mengeluarkan Akhyar, Safiq dan Kuzaimie Piee dan membawa masuk Mohamadou Sumareh, Aidil Zafuan serta Liridon Krasqniqi ketika perlawanan memasuki 10 minit babak kedua.

Pertukaran tersebut dilihat memberikan lebih ruang buat Arif Aiman yang turut memiliki peluang menambah jaringan namun rembatan derasnya pada minit ke-60 berjaya ditepis Etheridge.

Pan-gon terus melakukan dua pertukaran apabila membawa masuk Safawi Rasid serta Nor Azam Azih dan mengeluarkan R Kogileswaran serta Syafiq Ahmad.

Perlawanan berkesudahan Malaysia menang 2-0 dan Pan-gon boleh dianggap lulus ujian pertamanya malam ini.

Selepas ini Harimau Malaya akan menamatkan siri perlawanan persahabatan menentang Singapura, Sabtu ini sebelum bertemu kelab tempatan, Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here