Kerajaan tidak boleh ditadbir dengan ihsan pembangkang – Asyraf Wajdi

0
1

KERAJAAN tidak boleh selamanya ditadbir dengan mengharapkan ihsan daripada pembangkang.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mana mungkin kestabilan politik mampu dicapai jika negara berterusan begini yang mungkin mengurangkan keyakinan pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan.

Malah, beliau menegaskan, kerajaan dilihat tidak stabil serta boleh diugut pada bila-bila masa.

Asyraf juga berkata, secara rasminya pembangkang telah melanggar perjanjian persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021, Perkara 3.3(b) menggariskan bahawa pihak PH (Pakatan Harapan) bersetuju akan “mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dikemuka oleh kerajaan”.

“Ini bermakna PH telah berjanji tidak akan menolak sebarang usul kerajaan dalam Parlimen sekiranya dibentangkan,” katanya di Facebook, hari ini.

Justeru Asyraf menjelaskan, dengan penolakan PH terhadap usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin petang tadi, maka secara rasminya pihak PH telah mengingkari MoU tersebut.

“Sekaligus membawa kepada persoalan besar sama ada MoU antara kerajaan dengan pembangkang masih terpakai ataupun tidak?” soalnya.

Terdahulu, kerajaan gagal m melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat, petang tadi.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here