KEGAGALAN kerajaan dalam usul pelanjutan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat hari ini tidak memberi kesan kepada Memorandum Persefaham (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang berkata, ini kerana ia tidak termasuk dalam perkara yang dirundingkan dalam MoU yang dimeterai kedua-dua pihak pada tahun lalu.
“Perkara 3.3(b) MoU terpakai. Usul ini tidak dibincang, dirunding atau dipersetujui melalui mekanisme MoU, kekalahan usul ini juga tidak diertikan sebagai hilang percaya kepada kerajaan,” ciapanya di Twitter, hari ini.
Terdahulu, sesi petang Dewan Rakyat hangat apabila blok pembangkang buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.
Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.
Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022. – Malaysiapost

