PAS senada dengan Hamzah, RUU Akta Anti Lompat Parti perlu diperhalusi lagi

0
2

PAS senada dengan hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak dibentangkan dengan “tergesa-gesa.”

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pihak sama ada DAP atau pembangkang perlu duduk bersama untuk memperhalusi RUU tersebut sebelum dibentangkan.

“Saya rasa ini perlu diperhalusi di peringkat jawatankuasa perunding, sebab saya fikir semua pihak harus jelas apa akta yang nak dibentang, apa kelompongan yang ada. Kita kena lengkapkan dahulu.

“Saya fikir sama ada DAP, mana-mana pihak daripada pembangkang perlu duduk bersama untuk diperhalusi dan mana-mana kekurangan perlu dilengkapkan sebelum kita bentang,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air turut mengakui RUU Akta Anti Lompat Parti itu perlu diperhalusi dengan lebih mendalam lagi.

“Contohnya katalah seseorang itu menang atas tiket bebas, kemudian dia mahu menyertai mana-mana parti, apakah itu dikategorikan lompat parti sebab dia asalnya tak ada parti.

“Atau lebih kritikal lagi, katalah selepas pilihan raya tiba-tiba tak ada satu parti yang boleh menubuhkan kerajaan kerana tak cukup dua atau tiga kerusi.

“Apakah kita terpaksa buat pilihan raya semula dengan kosnya sekali,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turut memberi jaminan bahawa RUU itu akan dilaksanakan kerana ia merupakan komitmen bersama pihak pembangkang.

“Kami akan laksanakan cuma perincian itu perlu diperhalusi supaya tidak merugikan mana-mana pihak, sebab manfaat besar ialah kita nak satu sistem politik yang stabil dapat dilaksanakan di negara kita,” katanya.

Semalam, Hamzah mencadangkan RUU Akta Anti Lompat Parti diperincikan dengan memberi definisi lebih tepat berhubung terma lompat parti sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Antara yang dimaksudkan Hamzah ialah status seseorang wakil rakyat yang dipecat kerana melawan ketua parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here