Tidak sempat lihat anak genggam ijazah, ibu pergi dalam pangkuan

0
2

SEORANG graduan, Nurzakhiriah Sapri, 24, sayu menerima hakikat ibu tirinya menghembuskan nafas terakhir dipangkuannya sebelum sempat melihat dirinya menerima segulung ijazah.

“Walaupun tidak berapa sihat, ibu gagahkan diri ke Terengganu untuk melihat saya menggenggam segulung ijazah.

“Apakan daya, ibu meninggal dunia di pangkuan saya ketika kami sekeluarga berehat di sebuah inap desa, Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Ibu tirinya, Nor Zawiah Ahmad Razali menghembuskan nafas terakhir ketika mereka sekeluarga menginap di sebuah inap desa di Kampung Seberang Takir, Terengganu, kelmarin.

Nurzakhiriah sama sekali tidak menyangka hari gembira untuknya menerima ijazah dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ini bertukar menjadi kisah duka.

Semua itu berlaku selepas Nurzakhiriah tiba dari Pontian, Johor ke Terengganu kira-kira jam 4 pagi kelmarin bersama arwah dan bapanya Sapri M Noor serta dua adiknya.

Graduan Sarjana Muda Maritim itu berkata, kira-kira jam 9 pagi, dia melihat ibu tirinya dalam keadaan lemah dan sesak nafas sebelum memapah ibu tirinya itu ke sofa.

Katanya, dia segera menghubungi ambulans untuk meminta bantuan selepas ibu tirinya semakin kritikal apabila nafasnya mula tercungap-cungap.

“Saya sempat memberi bantuan pernafasan namun akhirnya ibu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya, kira-kira jam 10 pagi.

“Tak sangka perjalanan ibu untuk melihat saya di pentas mengambil segulung ijazah tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UMT, semalam.

Bercerita lanjut, Nurzakhiriah berkata, rakan ibu tirinya yang sama-sama bertugas sebagai jururawat di Johor ada memberitahu mengenai keadaan kesihatan arwah tidak berapa baik.

“Bagaimanapun, ibu tetap ingin ke UMT bagi meraikan majlis konvokesyen saya, tak sangka ibu pergi sebelum sempat melihat saya mengambil ijazah di atas pentas.

“Walaupun ibu tiri, namun sikap penyayang dan ambil berat terhadap saya membuatkan hubungan kami sangat rapat. kehilangannya amat saya rasai terutama pada hari bersejarah seperti ini,” katanya.

Menurut Nurzakhiriah, jenazah arwah ibu tirinya sudah dihantar ke kampung halamannya di Machang, Kelantan, untuk dikebumikan kelmarin, diiringi keluarga yang lain.

Katanya, dia pula tiada pilihan lain dan terpaksa berseorangan menyambut majlis konvokesyennya.

“Tidak lama dulu, ibu kandung koma dan meninggal dunia akibat kanser usus ketika saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kelmarin ibu tiri pula pergi menghadap Ilahi.

“Begitu cepat masa berlalu, kedua-dua insan tersayang ini tidak dapat melihat hari kejayaan dan bersejarah dalam hidup saya, namun saya reda,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here