KETIKA wujud desakan supaya Lim Guan Eng meletak jawatan, kepimpinan baharu DAP sebaliknya menyatakan sokongan penuh terhadap Pengerusi Kebangsaan parti itu yang berdepan perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut.
Menerusi hantaran di Facebook, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata seluruh pimpinan tertinggi DAP tetap yakin serta percaya terhadap integriti Ahli Parlimen Bagan itu.
“Pagi ini, saya bersama pimpinan parti hadir untuk memberikan sokongan moral dan solidariti bersama Lim Guan Eng di Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes beliau.
“Seluruh pimpinan tertinggi DAP amat yakin dan percaya dengan integriti Pengerusi kami,” katanya.
Beliau turut menulis tanda pagar #SupportandSolidaritywithLGE.
Antara yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.
Terdahulu pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendesak Guan Eng meletak jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan parti itu, susulan perbicaraan rasuah terowong dasar laut dihadapinya.
Beliau menegaskan, mana-mana pemimpin yang terpalit tuduhan rasuah atau skandal harus mengambil inisiatif untuk meletak jawatan bagi mengelak daripada menghantar isyarat salah mengenai nilai parti itu kepada masyarakat.
Pada masa sama katanya, ia bagi mengelak kedudukan parti terjejas bagi berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – Malaysiapost

