Umno perlu kuasai kerajaan negeri, Pusat – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan usaha Umno untuk menguasai kerajaan negeri dan Persekutuan sangat penting untuk memastikan agenda pembangunan berjalan lancar.

Beliau berkata, Umno memahami keperluan dan fokus setiap kerajaan di peringkat negeri dan Pusat adalah berbeza kerana setiap satunya mempunyai hala tuju dan cabaran tersendiri.

“Jika kita menguasai hanya salah satunya, agenda pembangunan serta pengurusan negara dan negeri tidak akan berjalan dengan lancar dan senada.

“Umno memahami keunikan prinsip dan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah prinsip federalisme,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan sendiri mencirikan pelbagai aspek dan keunikan antara dua peringkat kerajaan tersebut termasuklah Senarai Bersama dan Senarai Negeri serta Senarai Persekutuan.

“Maka, Umno akan memastikan yang kita mempunyai tawaran serta pelan yang unik, sesuai dan menjawab keperluan masyarakat di kedua-dua peringkat.

“Tawaran-tawaran ini bukan sahaja mesti bersifat khusus dan segar tetapi mesti saling melengkapi,” katanya.

Justeru, bagi merealisasikan tujuan itu, Umno mesti menjadi parti yang memahami isu setempat serta faham keperluan dan suara hati yang harus menjadi fokus kerajaan negeri.

“Pada masa yang sama, Umno harus tampil sebagai parti yang mempunyai idea besar kepada negara.

Menurut Ahmad Zahid, agenda memaknai hubungan negeri dan Persekutuan itu terkandung dalam Projek 123 yang diumumkan parti terbabit.

“Atas dasar itulah, angka dua (2) dalam Projek 123 yang saya umumkan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini merujuk kepada 2 peringkat kerajaan yang ingin dikuasai Umno – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, saya menyeru Umno, dari segenap kepimpinan dan seluruh pendukungnya bersama-sama membulatkan tekad dan mencanai pemikiran terbaik.

“Ia penting agar kita dapat menjayakan Projek 123 ini, khususnya dalam menguasai kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here