JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal menamatkan kariernya selepas berakhir Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selepas seteru utamanya dari Britain, Jason Kenny mengumumkan persaraan bulan lalu, Azizulhasni yang berusia 34 tahun pula bercadang untuk berbuat demikian selepas penampilan Olimpik kelimanya.
Hasrat itu disampaikan pemenang pingat gangsa dan perak Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 itu menerusi ucapan rakaman video selepas dinobatkan Olahragawan Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 semalam.
“Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini akan menjadi penampilan terakhir saya.
“Saya ingin memberi sepenuh perhatian untuk memastikan saya dapat beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air kita,” katanya.
‘The Pocket Rocketman’ turut memohon maaf kerana tidak dapat hadir ASN 2019/2020 kerana sedang menjalani latihan intensif di Melbourne, Australia.
“Untuk pengetahuan semua, saya kini sedang giat menjalani latihan persiapan untuk Sukan Komanwel yang hanya berbaki 128 hari lagi dan Sukan Asia yang berbaki 170 hari lagi,” katanya. – Malaysiapost

