KERAJAAN akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada Isi Rumah (IR) Miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam e-Kasih.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap IR akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun.
Ia antara empat tindakan diputuskan kerajaan dalam mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Bilangan 1 Tahun 2022 yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.
“Kerajaan menerusi MySPC telah mengenal pasti mekanisme perlindungan sosial lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko dihadapi Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat MySPC turut bersetuju memperkasa agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa 2.
Selain itu katanya, meningkatkan tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan kepada KIR Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam e-Kasih.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, Malaysia Productivity Corporation (MPC) diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti.
“MySPC hari ini melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) melibatkan 167 program daripada 17 kementerian/agensi yang mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020 dan program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian/ agensi terlibat.
“PDPS ini akan menjadi single gateway serta sumber rujukan utama program perlindungan sosial yang meliputi elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.
“Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas tahun 2023,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, langkah-langkah diputuskan dalam mesyuarat itu akan membantu memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai miskin tegar sifar menjelang tahun 2025 yang dihasratkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12. – Malaysiapost

