SEBANYAK 2,338 tawaran kompaun kepada individu dan 506 kompaun bagi pertubuhan telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Januari hingga 19 Mac lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kompaun itu dikeluarkan bagi pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Menurutnya, ia membabitkan Minggu Epidemiologi (ME) 1/ 2022 hingga ME 11/2022.
“Kompaun tertinggi adalah di Sabah dengan 623 kompaun, diikuti dengan Selangor sebanyak 505 kompaun, dan Johor sebanyak 340 kompaun.
“Terdapat peningkatan tawaran kompaun di Selangor dan Perak pada ME 11/2022 berbanding ME sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tawaran kompaun yang dikeluarkan membabitkan empat jenis kesalahan utama sehingga minggu ini adalah;
gagal menggunakan aplikasi MySejahtera (1,740); pelitup muka (236); penjarakan fizikal (55); peralatan untuk merekod butiran diri (12); dan lain-lain kesalahan (801).
“Aktiviti penguatkuasaan bagi pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini turut melibatkan lain-lain agensi.
“Sebanyak 9,294 tawaran kompaun individu dan 293 tawaran kompaun pertubuhan telah dikeluarkan oleh lain-lain agensi sehingga ME 11/2022,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, antara kesalahan utama yang dikeluarkan kompaun oleh agensi-agensi lain adalah gagal menggunakan MySejahtera (2,650); penjarakan fizikal (1,058); pelitup muka (575); alat merekod butiran diri (25); dan
lain-lain kesalahan (5,279).
“Selain itu, KKM turut mengambil tindakan dengan menutup premis di bawah Seksyen 18 Akta 342 bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.
“Sejumlah 954 premis telah ditutup di mana 913 daripadanya adalah premis perniagaan, diikuti dengan kilang sebanyak 40 premis, dan satu premis tapak pembinaan,” katanya.
Beliau berkata, melalui data-data yang ditunjukkan itu, jelas bahawa tahap kepatuhan masyarakat, pemilik premis, dan juga pertubuhan perbadanan masih boleh dipertingkatkan lagi. – Malaysiapost

