DBP akan diberi kuasa dalam menguatkuasakan kesalahan bahasa Melayu – PM

0
1

KERAJAAN akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 sebagai langkah memartabatkan Bahasa Melayu, sekaligus menjadikan ia sebagai bahasa ilmu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pindaan itu akan membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada Daerah, Negeri mahupun Persekutuan.

Menurutnya, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

“Seperti yang kita tahu, Undang-undang Kecil di Majlis Daerah misalnya, tidak mampu menguatkuasakan kesalahan penggunaan bahasa.

“Kalau kita lihat di sesetengah tempat, nama-nama taman dan sebagainya menunjukkan seolah-olah kita tidak berada dalam negara kita tetapi di luar negara dan Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya tidak mampu untuk menguatkuasakan supaya dipinda dan sebagainya nama-nama tersebut.

“Sebab itulah kita bercadang untuk memberikan kuasa kepada DBP di dalam menguatkuasakan perkara-perkara yang berkaitan dengan kesalahan dan pelanggaran dari segi nama dan sebagainya dalam bahasa Melayu ini,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihannya tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

“Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, saya telah mula meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu untuk rujukan saya apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

“Sebagai langkah awal dalam memartabatkan bahasa Melayu, saya sendiri telah menggunakan bahasa Melayu semasa lawatan rasmi ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan terkini ke Vietnam pada dua hari lalu,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dan ia juga satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

“Oleh yang demikian, usaha ini akan diteruskan dalam manamana pertemuan/mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

“Dari aspek pendidikan tinggi pula, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah bersetuju supaya pelajar asing akan diwajibkan mempelajari bahasa Melayu apabila mereka mendaftar di universiti di negara ini.

“Secara tidak langsung, mereka ini akan ‘membawa balik’ Bahasa Melayu apabila pulang ke negara masing-masing setelah tamat pengajian kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here