Bekas pemain tengah Melaka, Mohd Azizan Baba, 41, dilaporkan meninggal dunia pagi ini.
Berita sedih itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook Melaka United FC sebentar tadi.
Sebelum ini media melaporkan, Allahyarham menderita kanser pangkal paha sejak Ogos 2020.
“Melaka United FC dengan ini menzahirkan ucapan sedalam-dalam takziah buat keluarga bekas pemain Melaka, Allahyarham Mohd Azizan Baba yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini,” tulis hantaran itu.
Sepanjang kariernya, Mohd Azizan pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Malaysia antaranya Perak, Kuala Lumpur, Johor FC, Sarawak, Pulau Pinang, SAMB FC termasuk bersama Melaka pada 2007, 2008 dan 2015.
Arwah juga turut sempat bergelar jurulatih SAMB FC serta skuad pelapis Melaka pada 2019 dan 2020.
“Pemergian Allahyarham Azizan Baba merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak negeri dan negara. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” menurut Melaka United FC. – Malaysiapost

