Zul Ariffin bakal berdepan tindakan undang-undang

0
1

PELAKON Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 berhubung klip video adegan panas lakonannya yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Perkara tersebut disahkan Menteri Komunikasi dan Multimedi, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter.

“Proses undang-undang berjalan. Pelakon Zul Arifin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM kerana posting YouTube yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam ciapan itu, hari ini.

Annuar menegaskan adegan panas seperti dipaparkan menerusi klip video yang dimuat naik pelakon tersebut bersama seorang lagi pelakon wanita tidak dibenarkan untuk disiarkan.

“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Annuar dilaporkan memberi penegasan dan amaran kepada stesen-stesen televisyen dan penggiat drama agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam penyiaran karya seni.

Ia susulan Zul Ariffin memuat naik klip video ‘teaser’ drama bertajuk Perempuan Itu yang memaparkan adegan mengghairahkan lakonannya bersama seorang pelakon wanita.

Sedutan klip video itu tular dan menerima kritikan hebat pelbagai pihak yang kurang bersetuju dengan paparan tersebut kerana tidak sesuai untuk tontonan awam.

Isu tersebut turut menerima teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menentang keras penyiaran program memaparkan aksi tidak bermoral serta bertentangan hukum syarak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here