Guan Eng minta Annuar Musa baca semula MoU PH – kerajaan

0
1

DAP mengingatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa agar membaca perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata Akta Anti-Lompat Parti penting untuk menghapuskan katak politik yang bertopengkan wakil rakyat tetapi mengkhianati mandat rakyat dengan melompat ke parti lain semata-mata kerana tawaran jawatan dan dana kewangan.

Ini katanya, meracuni keyakinan awam ke atas sistem demokrasi dan melanggar prinsip dan nilai moral.

“Dinyatakan dalam MoU secara hitam putih bahawa Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti hendaklah dilaksanakan tidak lewat dari mesyuarat pertama Parlimen tahun 2022, iaitu pada mesyuarat Parlimen bulan Mac ini.

“Menteri tahu bahawa sekiranya janji Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia secara hitam putih pun tak boleh dipercayai, apa makna MoU yang ditandatangani? Bila Perdana Menteri yang pecah janji MoU bukankah MoU akan terbatal?

“Wahai Menteri yang gagal melaksanakan janji MoU, berusahalah menyempurnakannya dengan segara. Kalau tidak, dan MoU terbatal, anda harus bertanggungjawab penuh ke atas segala implikasinya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Annuar dilaporkan berkata kata dua DAP untuk menamatkan MoU antara kerajaan dan PH jika Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen, disifatkan sebagai mengelirukan.

Justeru Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU menasihati parti itu tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian berkaitan MoU terbabit yang boleh mengelirukan rakyat.

Sambil menyifatkan tindakan DAP memberi kata dua itu sebagai tidak wajar, beliau berkata, kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan sesekali tunduk dengan segala ugutan mana-mana parti politik mengenai perkara yang boleh mengelirukan rakyat.

Kelmarin, Guan Eng berkata dilaporkan berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai kerajaan dan PH akan ditamatkan jika RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen.

Sementara itu Guan Eng mendakwa Annuar takut untuk berdepan Pilihan Raya Umum kerana bimbang tidak akan diberi surat watikah bertanding mewakili Umno kerana memberontak melawan Presiden partinya sendiri.

“Tetapi janganlah kerana takut tak dapat bertanding, sehingga nak ubah fakta dan membelakangkan kebenaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here