Speaker putuskan dakwaan Najib kelirukan isu hutang 1MDB sedikit masa lagi

0
2

KEPUTUSAN sama ada kenyataan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak mengenai pembayaran balik hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengelirukan Dewan Rakyat atau tidak akan dibuat selepas maklum balas daripada Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua diterima.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata beliau telah meneliti jawapan bertulis daripada bekas Perdana Menteri itu dan pihaknya memberi sedikit masa kepada Tony Pua untuk menjawab penjelasan yang diberikan Najib.

“Saya telah teliti penjelasan tersebut, ia agak tebal, dan saya telah duduk dengan Damansara (Tony Pua) mengenai penjelasan itu. Saya beri masa sedikit kepada Damansara untuk jawab penjelasan-penjelasan tersebut.

“Penjelasan juga telah diberikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti yang saya pinta,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung mengapa Najib masih belum dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat mengenai hutang 1MDB.

Azhar berkata, semua salinan penjelasan mengenai isu berkenaan akan diberikan kepada Ahli Parlimen Pekan dan Damansara supaya mereka tahu apa yang diperkatakan.

“Setelah mendapat jawapan daripada Damansara, saya akan buat keputusan.

“Perkara ini agak rumit kerana ia melibatkan fakta dan butiran spesifik, dan terpaksa betul-betul saya perhatikan apa yang diperkatakan itu mengelirukan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, sebenarnya jika diteliti apa yang diperkatakan oleh Najib semasa perbahasannya di Dewan Rakyat, perkataan yang digunakan adalah spesifik.

“Beliau (Najib) tidak menyatakan bahawa hutang 1MDB tidak dibayar, beliau menyatakan hutang prinsipal 1MDB tidak dibayar.

“Jawapan yang diberikan Menteri Kewangan mengatakan negara telah membayar faedah hutang 1MDB dan prinsipal akan hanya terbayar pada Mei apabila matangnya bon yang pertama.

“Disitu terdapat percanggahan di mana Yang Berhormat Pekan mengatakan hutang prinsipal tidak dibayar dan Menteri Kewangan pula kata faedah sudah dibayar cuma prinsipalnya pada Mei ini,” katanya yang menegaskan tidak mahu membuat keputusan melulu berhubung perkara itu.

Najib pada 2 Mac lalu mendakwa tiada satu sen pun dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah hutang prinsipal 1MDB.

Perkara itu mendorong Tony Pua mengemukakan usul merujuk Najib kepada Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen kerana mengelirukan Dewan berhubung perbahasannya mengenai hutang 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here