Jho Low seleweng dana 1MDB sebelum Najib buka akaun bank

0
2

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low sudah lama menipu berbilion ringgit daripada 1MDB sebelum Datuk Seri Najib Razak membuka akaun bank berkaitan.

Memetik laporan Malaysiakini, Peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian semasa pemeriksaan balas ke atas bekas ahli lembaga pengarah 1MDB Ismee Ismail.

Semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, peguam itu merujuk kepada pada catatan dari blog Malaysia Today untuk menunjukkan bahawa Low, telah lama menipu dana kerajaan tanpa pengetahuan Najib.

Shafee merujuk dakwaan bahawa Low menipu syarikat yang digantikan oleh 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), pada 2009, melalui nota bon Islam jangka sederhana (IMTN) bernilai RM5 bilion ketika itu.

TIA ditubuhkan pada 2008 oleh kerajaan negeri Terengganu melalui Menteri Besar Incorporated, ia kemudiannya dipindahkan sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan pada Julai 2009. TIA kemudiannya dijenamakan semula sebagai 1MDB.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mendengar keterangan saksi pendakwaan bahawa Low adalah penasihat TIA.

Ismee, saksi pendakwaan ke-13, hari ini bersetuju dengan hujah Shafee bahawa tiada sebarang hasil daripada bon IMTN yang diseleweng oleh Low pernah masuk ke akaun bank Najib.

Shafee membuat dakwaan berkenaan dengan merujuk kepada petikan laporan SPRM yang didakwa mengenai akaun bank keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang disiarkan oleh Malaysia Today.

“Kami (pembelaan Najib) ingin menunjukkan bahawa wang (yang didakwa daripada 1MDB) yang masuk ke dalam akaun Najib (antara Feb 2011 dan Ogos 2013 seperti yang didakwa dalam 25 pertuduhan ke atas tertuduh) hanya kerana aturan derma itu ( kononnya dari kerabat diraja Arab).

“Mengapa ia (wang) masuk (akaun bank Najib) adalah untuk orang lain menjawab. Pelanggan saya sangka bahawa ia adalah derma daripada Kementerian Kewangan Saudi.

“Akaun AmBank (Najib yang didakwa menerima berbilion ringgit daripada 1MDB) dibuka pada 2011, jadi ia tiada kaitan dengan IMTN,” kata Shafee kepada mahkamah sambil Najib melihat dari kandang tertuduh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here