KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia digesa agar mengambil tindakan terhadap DAP susulan penganjuran Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, semalam yang dikatakan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Gesaan itu dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa terdapat pelanggaran SOP terutama penjarakan fizikal apabila kelihatan ramai ahli parti berkenaan yang berpelukan ketika kongres berkenaan.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan, sedang terdapat kes pelanggaran SOP sebelum ini yang dikenakan saman.
“Kit Siang (veteran DAP, Lim Kit Siang) disahkan positif Covid-19 hari ini. Saya doakan beliau cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik.
“Tapi saya perhatikan Kit Siang banyak berpeluk dengan geng-geng DAP semalam.
“Kenapa pula artis AJL (Anugerah Juara Lagu) boleh disaman berpeluk tapi KKM tak saman DAP?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Najib berkata, dia tidak berniat jahat berhubung perkara itu namun mendakwa kumpulan DAP berkenaan yang seronok menuduhnya melanggar SOP sehingga Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyamannya banyak kali.
“Lebih elok juga Ahli-ahli Parlimen DAP yang berpeluk dengan Kit Siang semalam kuarantin kendiri dan jangan datang Parlimen. Silap-silap seluruh Dewan dijangkit mereka.
“Apapun, saya juga doakan kesemua mereka selamat daripada dijangkiti,” katanya.
Kit Siang menghadiri dan berucap di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, semalam serta mengumumkan persaraannya selepas 56 tahun berkecimpung dalam arena politik tanah air.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, itu bagaimanapun disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian RTK-Ag di Parlimen hari ini. – Malaysiapost

