Wanita ditahan susulan konvoi kereta mewah halang lalu lintas

0
2

POLIS menahan seorang wanita susulan kejadian kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di pertengahan lebuh raya dan menghalang lalu lintas di Kilometer (KM) 34, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, Johor pada Jumaat lalu

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow, berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kulai diketuai Asisten Superintendan Fazree Mohd Ariff telah mengesan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun.

“Suspek telah ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada kira-kira jam 1 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

“Reman telah dipohon ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kulai dan telah mendapat kelulusan reman selama tiga hari bermula hari ini daripada Majistret Shahrifah Maleeha Syed Husin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Beng Yeow dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung konvoi kenderaan mewah memberhentikan kenderaan di KM 34 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan hingga menghalang lalu lintas.

Menurutnya, laporan itu susulan satu video tular yang memaparkan beberapa kereta mewah berhenti di pertengahan lebuh raya dan menghalang lalu lintas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku Jumaat lalu kira-kira jam 6.10 petang iaitu membabitkan pelanggaran di antara sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan kereta jenis Lamborghini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here