KKM, SPR bincang protokol benar pesakit Covid-19 keluar mengundi – KJ

0
2
https://www.facebook.com/photo?fbid=431494468347182&set=pcb.431496421680320

KERAJAAN sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan protokol pengundian selamat membabitkan pemilih positif Covid-19 menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa penularan Covid-19 akan kekal, justeru hak pengundi tidak sepatutnya dinafikan.

“Tetapi saya katakan kepada pegawai saya, Covid-19 akan kekal. Kalau kita nafikan hak mereka untuk mengundi, bermakna kita terus menafikan hak untuk berperlembagaan.

“Jadi, kita sedang memikirkan apakah cara paling selamat untuk mereka mengundi,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Berita Harian.

Khairy berkata, apa yang berlaku membabitkan seorang pengundi di pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini mungkin boleh difahami berikutan belum ada protokol selamat disiapkan ketika itu.

Pada 12 Mac lalu, seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi Dewan Kampung Melayu Majidee walaupun masih dalam tempoh kuarantin selepas dijangkiti Covid-19.

Tindakan itu diambil oleh Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru setelah membuat pemeriksaan aplikasi MySejahtera wanita berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here