DATUK Seri Najib Razak hari ini mempersoalkan Pakatan Harapan (PH) sama ada mahu terus membuat tuduhan negara sudah bankrap seperti sering disebut-sebut pemimpinnya ketika menjadi kerajaan.
Ia selepas hutang kerajaan hari ini memaklumkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan hingga akhir Disember tahun lalu adalah sebanyak RM979.8 bilion.
“Di bawah kerajaan BN dahulu, hutang kerajaan sebanyak RM686.8b dengan nisbah hutang kepada KDNK sekitar 48.7%, PH kata kita sudah bankrap.
“Lalu, PH pun tukar cara kira hutang dengan menambah jaminan kerajaan serta liabiliti jangka masa panjang kerajaan sehingga tahun 2040. (Bayangkan sewa rumah kamu sehingga tahun 2040 diambil kira sebagai hutang kamu) sehingga nilainya cecah RM1 trilion.
“Padahal tiada negara dalam dunia menggunakan kaedah ini untuk mengira hutang. Ini sekadar PH mahu tipu Rakyat dan kenakan Najib saja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut Najib berkata, PH kemudian menggunakan alasan hutang RM1 trilion yang direka mereka untuk menjual aset negara yang memberi pulangan baik, menjarah rizab-rizab kerajaan dan Petronas serta mengurangkan bantuan rakyat.
“Namun hari ini, hutang kerajaan benar-benar telah cecah RM1 trilion dengan nisbah hutang sebanyak 63.4% – kenaikan yang amat dashyat sekali dalam tempoh yang begitu pendek.
“Kenaikan melebihi RM320 bilion. PH tak mahu tuduh lagi negara sudah bankrap ke?,” katanya.
Terdahulu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata paras hutang negara sehingga Disember lalu adalah 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam masa sama, beliau memberitahu nisbah hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen MGs, MGII dan MITB mencatatkan 5.79 peratus daripada KDNK. – Malaysiapost

