PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai tindakan pembekuan akaun bank suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri, perlu ada komitmen untuk buat pindaan di Parlimen.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata ia supaya akta bawah Kementerian Kewangan mengiktiraf keputusan Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Menurut Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu, setakat ini keputusan Mahkamah Syariah di bawah akta Kementerian Kewangan tidak tersenarai sebagai keputusan yang terikat di bawah akta berkenaan.
Katanya, salah satu inisiatif memartabatkan Mahkamah Syariah semasa beliau menjadi menteri ialah memastikan tindakan susulan keputusan Mahkamah Syariah terhadap isteri yang diceraikan dapat dikuatkuasakan.
“Ini termasuk membekukan akaun suami yang culas termasuk tuntutan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami.
“Setakat ini keputusan Mahkamah Syariah di bawah akta Kementerian Kewangan tidak tersenarai sebagai keputusan yang terikat di bawah akta.
“Keputusan Mahkamah Syariah seolah tidak diiktiraf bagi tindakan kuatkuasa dan ini sangat menyedihkan kerana ia menjejaskan hak para isteri yang diceraikan tanpa pembelaan terhadap keperluan nafkah mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua kes cerai melibatkan umat Islam ditentukan keputusan penghakimannya oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara.
Menurutnya, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah dipertanggungjawabkan untuk berunding dan menyelaras dengan bahagian undang-undang Bank Negara dan Kementerian Kewangan supaya dibuat pindaan bawah Kementerian Kewangan.
“Inisiatif ini bagi menjaminkan keputusan Mahkamah Syariah diiktiraf secara berakta untuk tindakan membekukan akaun suami yang gagal memenuhi nafkah yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
“Saya harap Perdana Menteri yang isytiharkan tindakan membekukan akaun suami yang culas membayar nafkah isteri yang diceraikan perlu ada komitmen untuk buat pindaan di parlimen supaya akta bawah Kementerian Kewangan mengiktiraf keputusan Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
“Tanpa pindaan saya anggap Perdana Menteri hanya beretorik semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk sokongan politik,” katanya.
Mujahid berkata, Perdana Menteri hanya perlu merujuk kepada JKSM yang telah pun memulakan usaha berkenaan semasa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin diperkenalkan pada tahun 2018.
Ismail Sabri dalam ucapan penggulungan PAU 2021, Sabtu lalu memaklumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.
Menurutnya, kerajaan juga akan mengarahkan bank untuk menyalurkan bayaran yang ditetapkan mahkamah secara terus kepada wanita terbabit. – Malaysiapost

