KPLB sedia khidmat bot penduduk Pulau Tuba, Pulau Dayang Bunting

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan RM671,000 bagi menyediakan perkhidmatan dua bot penambang untuk penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting di Langkawi.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkhidmatan bot itu dikendalikan Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba Dan Selat Berhad (KOPTUBAS) sejak pertengahan tahun lalu.

“Kita amat memahami kepayahan dialami penduduk di dua pulau tersebut sejak sekian lama.

“Justeru kita mencari jalan penyelesaian menerusi inisiatif perkhidmatan bot penambang untuk kegunaan penduduk di Pilau Tuba dan juga Pulau Dayang Bunting berulang-alik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis ringkas perasmian bot penambang itu di Jeti Pelancongan Langkawi dekat Pekan Rabu di pulau tersebut hari ini.

Tambah Mahdzir, perbelanjaan perolehan dua bot berkenaan dibuat menerusi peruntukan di bawah Program Desa Lestari KPLB.

Menurutnya, perkhidmatan bot penambang yang diberi nama BesTUBA itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di dua pulau berkenaan.

“Setiap bot mampu memuatkan sehingga 30 penumpang pada satu-satu masa dan beroperasi setiap hari dengan kekerapan tujuh perjalanan sehari.

“Saya berharap selain memudahkan urusan penduduk, perkhidmatan bot itu mampu menjana pulangan ekonomi kepada pihak koperasi menerusi perkhidmatan sewaan kepada pelancong,” kata Mahdzir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here