Sidang DUN Negeri Sembilan ditangguh, Speaker dan Timbalan Speaker positif Covid-19

0
3

PERSIDANGAN Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang sepatutnya berlangsung mulai hari ini hingga Khamis, ditangguhkan ke suatu tarikh baharu berikutan Speaker dan Timbalan Speaker disahkan positif Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tarikh baharu bagi persidangan tersebut akan dimaklumkan kelak.

Tambah beliau, perkara itu juga sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk mendapatkan perkenan baginda.

“Pada jam 8 pagi tadi, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Dr Razali Ab Malek) menghadap Tuanku Muhriz di Istana Munarah untuk memaklumkan bahawa Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, dan Timbalan Speaker, Datuk M Ravi, disahkan positif Covid-19.

“Kami memaklumkan kepada baginda dan mencadangkan mesyuarat atau persidangan DUN ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dicadangkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kepada Tuanku Muhriz dalam tempoh terdekat ini, bagi mendapatkan perkenan baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bilik Gerakan Wisma Negeri, hari ini.

Aminuddin berkata, selain Zulkefly dan Ravi, seramai 23 individu lain termasuk ketua jabatan serta petugas DUN turut dijangkiti wabak berkenaan.

Katanya, walaupun kerajaan negeri boleh melantik Speaker sementara bagi mengendalikan persidangan DUN, namun berikutan situasi Covid-19 dan ramai petugas turut dijangkiti penyakit itu, ia terpaksa ditangguhkan.

“Ini bagi memastikan perjalanan persidangan DUN dapat berlangsung dengan baik.

“Kita sedia maklum ada dua Rang Undang-Undang (RUU) yang perlu dibentangkan pada persidangan DUN kali ini, jadi kita rasa Speaker dan Timbalan Speaker perlu ada bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai keadaan Zulkefly itu, malam tadi, manakala Ravi dua hari lalu selepas masing-masing menjalani pemeriksaan kesihatan ditetapkan.

Bekenaan keadaan kesihatan anggota pembangkang pula, beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tiada menerima sebarang maklumat berkaitan.

“Kita akan menetapkan tarikh baharu bagi persidangan DUN, mungkin pada Ramadan nanti, namun tarikh sebenar akan bergantung pada perkenan Tuanku Muhriz,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here