JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menentang keras penyiaran program yang jelas memaparkan aksi tidak bermoral serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata drama yang jelas mempamerkan perbuatan yang dilarang oleh Islam tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadan.
“Jakim mengambil perhatian serius isu video sedutan drama ‘Perempuan Itu’ yang tular di media sosial.
“Jakim telah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakimah berkata, Jakim turut menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran; penerbit; penulis skrip dan pelakon agar lebih cakna dalam pembikinan sesebuah karya.
Menurutnya, ia bagi mengelakkan isu-isu seumpama itu menyerap masuk ke jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang dilarang dalam Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia.
“Jakim tidak akan berkompromi dengan isu-isu seumpama ini dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa memberi penegasan dan amaran kepada stesen-stesen televisyen dan penggiat drama agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam penyiaran karya seni.
Mengulas mengenai isu kandungan drama yang dikatakan memaparkan adegan melampau katanya, pemain industri terbabit perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.
Sebelum itu, pelakon, Zul Ariffin menerima kritikan hebat selepas dipercayai memuat naik klip video ‘teaser’ drama bertajuk Perempuan Itu yang memaparkan adegan mengghairahkan lakonannya bersama pelakon baharu, Siti Hariesa.
Drama arahan Erma Fatima berjudul Perempuan Itu dibintangi oleh Zul Ariffin dan Mimi Lana itu akan menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini. – Malaysiapost

