‘Saya minta maaf pada media yang terguris hati’ – Shila Amzah 

0
2

“SAYA minta maaf kepada media yang terguris hati dengan apa yang berlaku sebelum ini.” 

Shila Amzah akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka atas ‘pergeseran’ antara penyanyi itu dengan media berbahasa Melayu sejak lapan tahun lalu. 

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 32, mengakui kesilapan dan tindakannya bermusuhan dengan media adalah pengajaran dalam karier seninya selama ini. 

Menerusi temu bual bersama sebuah program hiburan, Shila memberitahu konflik yang berlaku sejak tahun 2014 dan berlanjutan sehingga kini adalah di luar kawalannya. 

Malah, dia juga akui baru berasa bebas memilih dan membuat keputusan mengenai hala tuju karier seninya selepas berkahwin pada tahun 2018. 

“Saya nak cakap apa yang berlaku pada masa lalu di luar bidang saya. Saya dah tak boleh nak tarik balik berita yang dah keluar. Apa yang menjadi penghalang saya tidak bebas? Saya tidak menidakkan pengorbanan kedua orang tua saya. 

“Saya faham perasaan ibu bapa yang nak terbaik untuk anak. Tetapi disebabkan past relationship (hubungan lampau), saya sangat dijaga termasuk untuk perkara kecil seperti ingin keluar minum bersama kawan. 

“Secara jujurnya, emosi saya banyak terganggu. Bila saya dah berkahwin dan pindah ke United Kingdom, secara tidak langsung perkara tersebut memberi saya kebebasan,” katanya dalam temu bual itu. 

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi ND Lala itu juga tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku sebelum ini. 

“Tetapi, saya tak akan salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku pada masa lalu. Sekarang ni saya cuma nak hidup dengan aman dan tenang. Saya tak nak ada langsung berdendam dengan sesiapa. Saya harap mereka yang terguris itu maafkan saya. 

“Saya ambil itu sebagai pengajaran dan harapkan apa yang berlaku itu menjadi iktibar kepada kita semua. 

“Saya nak mohon maaf seandainya ada terlebih, terkurang yang saya terguriskan hati secara sengaja atau tidak, dalam kawalan atau di luar kawalan saya. Jauh di sudut hati, saya mengharapkan kemaafan dari kalian (media) semua dan saya juga tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi,” luahnya lagi. 

Terdahulu, nama Shila kembali mengisi ruangan berita tanah air selepas dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Pelukan Angkasa bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) pada Anugerah Juara Lagu ke-36. 

Hubungan Shila Amzah dan media mula bermasalah apabila pihak pengurusan artis itu mengadakan sidang media dengan memperkecil peranan media Melayu selepas satu pendedahan dibuat akhbar Kosmo! mengenai konsert artis itu yang ditaja sebuah syarikat perjudian. 

Ketika itu nama Shila Amzah sedang popular apabila dia berjaya mendapat tempat di negara China. 

Rentetan itu Shila Amzah melalui syarikatnya Shila Amzah Entertainment Berhad telah memfailkan saman pada 16 Januari 2015 terhadap akhbar Kosmo! di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan fitnah. 

Namun pada 31 Mac 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rosnaini Saub menolak saman penyanyi itu kerana mendapati artikel diterbitkan Kosmo! dibuat bawah perlindungan bersyarat dan Shila sebagai selebriti perlu terbuka menerima kritikan. 

Justeru, mahkamah memerintahkan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan iaitu wartawan hiburan Kosmo, Maliah Surip, pengarang akhbar itu dan penerbit, Utusan Melayu (M) Berhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here