Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 2.2 tan ketum

0
2

CUBAAN menyeludup kira-kira 2.2 tan daun ketum ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dalam kejadian awal pagi tadi di perairan muara Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata pihaknya berjaya merampas bahan terlarang itu hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemunggahan mencurigakan di muara Kuala Sala.

Menurutnya, berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah diatur gerak bagi mengesan aktiviti berkenaan.

“Setiba di lokasi berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara.

“Pemeriksaan lanjut menemukan daun hijau disyaki daun ketum berjumlah 220 bungkus dan dianggarkan seberat 2.2 tan yang dipercayai baru sahaja diletakkan di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

“Semua hasil rampasan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396,000 itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya.

Menurutnya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here