SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng meminta kerajaan membayar pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock sebanyak RM1.5 juta, sama seperti diberikan kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Menurutnya jumlah pampasan yang sama juga perlu dibayar kepada ahli keluarga individu yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.
“Menyeru kepada kerajaan untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Muhammad Adib Mohd Kassim, Teoh Beng Hock dan mereka yang mati dalam tahanan polis.
“DAP mengalu-alukan pembayaran ganti rugi sebanyak RM1.5 juta kepada keluarga Muhammad Adib, tetapi pembayaran yang sama harus diberikan kepada keluarga Beng Hock dan juga mereka yang mati dalam tahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan ketika itu.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, memaklumkan kerajaan membayar ‘ex gratia’ berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga Muhammad Adib.
Perdana Menteri berkata, walaupun siasatan masih berjalan tetapi kerajaan telah membayar pampasan tersebut kepada keluarga arwah yang dibuat pada 29 November 2021.
Menurutnya, ia sebagai bukti kesungguhan Umno dalam membela nasib rakyat di negara ini.
Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018. – Malaysiapost

