PEMBAYARAN Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 1 melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2.0 bilion akan dibuat secara berperingkat bermula 28 Mac ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 8.6 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima.
“Ia merangkumi 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.
“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, bayaran akan terus dikreditkan ke akaun bank bagi kumpulan isi rumah, warga emas dan individu bujang bermula 28 Mac hingga 8 April.
Menurutnya, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak pula, pembayaran dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 30 Mac.
Jelas beliau, pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.
“Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
“Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei 2022 untuk tempoh sebulan,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata proses tersebut bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM).
“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya. – Malaysiapost

