PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan cadangan pembubaran Parlimen akan dibincangkan bersama lima pemimpin tertinggi Umno.
Naib Presiden Umno itu mengakui dua kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membuatkan ahli serta pemimpin Umno lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.
“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti.
“Ini juga akan dibincangkan dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan jemaah menteri
sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri menyeru kepada seluruh Keluarga Umno supaya merapatkan saf dan jangan benar mana-mana anasir mengganggu gugat keharmoniannya.
“Ini kerana hanya Umno menjadi harapan akyat telah cuba menukar kerajaan tetapi terbukti hanya Umno dan BN yang membela nasib mereka. Umno adalah Juara rakyat,” katanya. – Malaysiapost

